Tuesday, August 12, 2008

MERDEKA NEGARA, MERDEKA DIHATI, MERDEKA DI JIWA


Tanggal 31 Ogos 2008 ini maka genaplah 51 tahun negara kita malaysia mencapai kemerdekaan. Namun setelah 51 tahun merdeka, masih lagi menjadi tanda tanya kepada kita adakah kita sudah benar-benar merdeka? dan apakah sebenarnya erti kemerdekaan kepada kita. Sebenarnya, jawapan kepada persoalan tersebut hanya boleh dijawab oleh kita sendiri. Jika diteliti memang benar negara kita telah bebas dan merdeka daripada penjajahan negara asing. Negara kita tidak lagi diperintah oleh orang asing. Namun hakikatnya, jika dilihat dari segi pemikiran, masyarakat kita masih lagi dijajah. Masyarakat kita masih lagi mengagung-agungkan negara asing. Dari bahasa, makanan hinggalah kepada pakaian, semuanya mempunyai pengaruh budaya negara asing terutamanya dari barat. Merdekakah kita? Tidak salah jika kita ingin menguasai bahasa asing seperti Bahasa Ingeris, tapi kenalah pada tempatnya. Tidak salah kalau kita ingi berpakaian mengikut fesyen terkini tapi janganlah sampai mengabaikan pakaian tradisional sendiri. Tidak salah juga jika kita ingin menikmati makanan yang pelbagai, tapi jangan pula merendah-rendahkan makanan tradisi kita.
Sebenarnya tidak ada yang kurang pada bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Malaysia. Kalau dilihat, sebenarnya Bahasa Malaysia ini pernah menjadi Lingua Franca ataupun bahasa perantaraan di Asia Tenggara khasnya. Malahan, Bahasa Malaysia juga telah banyak menarik minat masyarakat dunia untuk dipelajari sejak akhir-akhir ini. Jangan hairan jika kita bertemu orang Eropah, Jepun atau Afrika yang bercakap menggunakan Bahasa Malaysia. Apa guna bercakap menggunakan bahasa asing sampai tergeliat lidah sekiranya Bertutur menggunakan Bahasa Malaysia pun masih pelat.
Baju Kebaya, Baju Kurung, Baju Melayu, Sari dan Cheong Sam merupakan pakaian rasmi pelbagai rakyat Malaysia yang menjadi kebanggaan kita semua. Mengapa pakaian-pakaian ini sering dikatakan ketinggalan zaman. Tidak salah jika mau berfesyen, tapi janganlah sampai mengabaikan pakaian yang menjadi kemegahan bangsa sendiri. Jangan pula pakaian asing yang menjolok mata pula yang diagong-agongkan.
Pizza, Spageti dan macam-macam lagi makanan barat menjadi lambang kecanggihan masyarakat hari ini. Makanan seperti tempoyak, sambal belacan, cencalok, petai, jering dan lain-lain makanan tradisional tidak dihiraukan lagi. Kata mereka, makanan sebegitu tidak sesuai dengan kehidupan mereka yang canggih dan moden. Makanan-makanan tersebut hanya akan meloyakan tekak mereka.
Inikah yang dikatakan merdeka dalam jiwa masyarakat kita hari ini. Jika dulu negara kita dibelenggu penjajahan kuasa, tapi nampaknya kini pemikiran dan budaya kita pula yang menjadi mangsa.
Oleh itu, sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama merdekakan jiwa, minda dan pemikiran kita. Jangan gadaikan adat dan budaya kita semata-mata untuk dianggap canggih dan moden. Peliharalah adat dan budaya warisan bangsa kita, bak kata pepatah "Biar mati anak, jangan mati adat"
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara Kita Yang ke 51 "Perpaduan Teras Kejayaan"

2 comments:

Anonymous said...

rajin nye kau acik din... macam exam plak ko taip huhu....

kami said...

Merdeka..merdeka!!! tapi tu kan 31 Aug. mana post yg terbaru lak.. nak tau gak ape aktiviti yg baru